AKTIVITI KITAR SEMULA

TAJUK : AKTIVITI KITAR SEMULA


Hai korang. Selamat berjumpa lagi. Terima kasih sebab sudi membaca coretan saya. Kali ini saya akan muncul dengan topi terbaru iaitu Aktiviti Kitar Semula.  Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini, kitar semula membawa banyak kebaikan kepada alam sekitar dan juga hidupan di atas muka bumi ini. Saya juga ada menyenaraikan tiga bahan utama yang boleh dikitar semula. Tiga bahan tersebut ialah plastik, kaca dan juga kertas.

Sebelum itu, mari kita merungkai pengertian kitar semula ini dahulu. Kitar semula bermaksud proses mengolah bahan buangan untuk dijadikan satu barangan yang baharu. Kitar semula adalah komponen utama bagi pengurusan bahan buangan moden dan kompenon ketiga bagi “Pengurangan pembaziran, Guna Semula, Kitar Semula’ atau singkatannya 3R. Dalam bahasa Inggeris, 3R ialah ‘Reduce, Reuse, Recycle’. Kita akan meneroka satu persatu aktiviti yang boleh dikaitkan dengan istilah ini.

a)       Reduce

Reduce’ membawa maksud pengurangan bahan semula jadi seperti plastik, kertas dan juga kaca. Aktiviti pengurangan yang melibatkan penggunaan plastik ialah “Hari Tanpa Plastik’ setiap hari Sabtu di semua pusat membeli belah. Dengan menubuhkan peraturan sebegini, para pelanggan akan membawa beg membeli belah sendiri, dan secara tidak langsung mengurangkan penggunaan beg plastik. Sekiranya ada pelanggan yang terlupa atau sengaja tidak membawa beg sendiri, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM0.20 untuk setiap plastik, tidak kira apa pun saiz. Mengikut pengalaman saya bekerja di ‘supermarket’ dahulu, pelanggan akan melenting kerana terpaksa berbayar untuk mendapatkan plastik tersebut. Pada awalnya memang susah, namun lama-kelamaan mereka akan terbiasa dan akhirnya membawa beg sendiri.

Antara contoh paper bag yang boleh diguna semula untuk membeli belah. 

Selain daripada itu, penggunaan aluminium dan kaca boleh dikurangkan dengan cara membeli barangan berkaca yang boleh dikitar semula dan juga membeli bateri yang boleh dicaj semula. Dengan membeli bateri yang boleh dicaj semula, secara tidak langsung kita dapat mengurangkan pembuangan bahan aluminium ini. Akhir sekali ialah kertas. Pengurangan penggunaan kertas boleh dilakukan dengan mencetak pada kedua-dua belah muka surat, menggunakan sapu tangan serta menggunakan bekas makanan sendiri. Apa kaitan sapu tangan dengan kertas? Seperti mana yang kita ketahui, tisu diperbuat daripada kertas dan apabila menggunakan tisu, kita hanya menggunakannya sekali sahaja berbanding sapu tangan yang boleh dicuci berkali-kali. Manakala bekas makanan boleh mengurangkan penggunaan kertas sebagai pembalut makanan seperti nasi lemak dan lauk-pauk yang dibeli di gerai-gerai.


b)      Reuse

Reuse’ bermaksud guna semula. Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengguna semula kaca, plastik dan kertas ini. Antara aktiviti yang melibatkan aktiviti guna semula plastik ialah, menggunakan semula plastik membeli belah yang kita perolehi daripada mana-mana pusat membeli belah. Bekas-bekas makanan yang diperbuat daripada plastik juga boleh diguna semula untuk menyimpan makanan atau barangan lain. Selain daripada itu, kertas juga telah digunakan boleh digunakan untuk menconteng segala draf atau memo. Baju-baju lama juga boleh diguna semula sebagai alas kaki atau lap meja. Kaca-kaca yang terdapat di rumah boleh diguna semula sebagai pasu bunga atau perhiasan di taman-taman. Tayar-tayar lama juga boleh diguna untuk menggantikan pasu bunga seperti mana yang sering dilakukan di kawasan persekolahan.

Barangan berkaca yang boleh diguna semula sebagai bekas untuk menyimpan barangan dapur. 

Botol kaca yang digunakan sebagai pasu bunga. 


c)       Recycle

Rasanya semua orang sudah biasa dengan istilah ‘recycle’ atau dalam bahasa Melayunya, kitar semula. Di awal perbincangan lagi, saya telah banyak membicarakan cara kitar semula barangan seperti kaca, plastik dan kertas ini. Apa yang paling penting, kita perlu mengasingkan bahan buangan mengikut tiga jenis bahan tersebut. Jangan lupa bahawa bahan-bahan seperti perabot, barangan elektronik, bahan pembinaan dan kenderaan juga boleh dikitar semula. Aktiviti mengkompos, iaitu proses pereputan bahan-bahan boleh reput dapat digunakan semula sebagai baja di taman. Ia adalah cara terbaik untuk mengurangkan sisa dapur.

Tong sampah kitar semula


Sebagai kesimpulan, pelbagai langkah untuk kita menyelamatkan bumi daripada pencemaran air, tanah dan udara. Dengan adanya kesedaran untuk mengamalkan prinsip 3R ini, mudah-mudahan kita boleh membantu memelihara dan memullihara sumber semula jadi bumi ini. Sepatutnya sikap menyanyangi alam sekitar sudah dipupuk semenjak kita kecil lagi kerana orang pernah berkata ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dengan cara mendidik anak-anak membuang sampah di dalam tong sampah, mengelakkan pembakaran terbuka, aktiviti bercucuk tanam dan juga mengguna semula barangan terpakai, ia adalah alternatif untuk menerapkan sikap bertanggungjawab dalam diri.


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

BAHAN-BAHAN KITAR SEMULA

BAHAN-BAHAN YANG BERKAITAN